">

Tuesday 10 July 2012

Dunia Menunggu Dinar Emas Yang Lebih Stabil

Unit Penyelidikan Dinar Dirham, Universiti Teknologi Malaysia


Dolar Amerika Syarikat (AS) terkenal sebagai matawang dunia yang paling banyak digunakan dalam perdagangan antarabangsa dan menjadi sandaran kepada banyak matawang negara-negara di dunia ini. Dolar Euro dilahirkan dan digunakan sebagai matawang rasmi oleh 12 buah negara Eropah iaitu Austria, Belgia, Finland, Prancis, Jerman, Yunani, Ireland, Itali, Luxemburg, Belanda, Portugal, dan Spanyol dengan jumlah penduduk hampir 300 juta orang. Adalah dijangkakan dolar Euro yang mula diperkenalkan dalam tahun 1999, dan digunakan dengan rasminya pada 2 Januari 2002 dapat menyaingi dolar AS dan Yen Jepun. Walau bagaimanapun pada hari pelancaran dolar Euro, kadar pertukaranya hanyalah pada kadar 1 dolar Euro bersamaan 0.8934 dolar AS.

Berbagai usaha dilakukan oleh Bank Pusat Eropah (European Central Bank – ECB) bagi mnguatkan kedudukan dolar Euro dengan menaikkan kadar faedah pada 2.75% dalam tahun 2003 sedangkan dolar AS menurunkan kadar faedah kepada 1.25%. Mulai tahun 2003, kita dapati dolar Euro makin bertambah kukuh dibandingkan dengan dolar AS. Kini kita dapati dolar AS mula mengalami satu saingan yang benar-benar mencabar. Cabaran makin hangat dengan berlakunya perang teluk dan kegagalan AS membuktikan kewujudan senjata pemusnah, yang dikatakan punca utama merosakan negara Iraq. Ramai penganalisis kewangan dunia menyatakan jika perang dan kestabilan di Iraq tidak tercapai dalam masa terdekat, dolar AS akan terus merosot dan akan menekan ekonomi AS. Walau apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat untuk mengukuhkan nilai dolar AS, penyusutan nilai dolar AS terus berlaku!

Eropah merupakan suatu kawasan yang remai penduduknya dengan etnik yang berbeza. Pegenalan dolar Euro memberikan satu identiti kepada benua Eropah walaupun tidak semua negara menyertai penggunaan matawang baru ini. Dalam waktu yang singkat sahaja kita dapati beberapa perubahan besar dalam dominasi matawang dalam perdagangan, jual beli saham, ekspot dan impot dan berbagai lagi engin operasi sistem perbankan berpindah dari menggunakan dolar AS kepada menggunakan dolar Euro. Kini matawang dolar Euro beroperasi sepenuhnya di seluruh negara kesatuan Eropah khasnya dan dunia amnya. Negara-negara di luar kesatuan Eropah yang mempunyai hubungan perdagangan dengan negara kesatuan Eropah sudah mula menggunakan dolar Euro dalam taransaksi perdagangan. Urusan perdagangan langsung menggunakan dolar Euro akan mengurangkan kos perdagangan yang terlibat apabila menukar kepada dolar AS kemudian ditukar pula kepada dolar Euro, seterusnya mengurangkan risiko ketidakstabilan, nilai tukar cara ini akan menurunkan kos transaksi.

Kadar pertukaran dolar Euro dengan dolar AS pada mulanya adalah pada paras yang hampir sama. Oleh kerana permintaan dolar Euro meningkat, kadar pertukaran matawang ini turut meningkat. Nampaknya ada pertembungan antara dua matawang dunia ini seolah-olah bermulanya peperangan antara dolar Euro dengan dolar AS. Walaupun tidak ada suatu pengistihar perang, tetapi jelas perang antara dolar Euro dengan dolar AS telah berlaku. Satu laporan dan analisis yang dilakukan oleh gold-eagle.com, bahawa peperangan ini berlaku bagi mendapatkan kedudukan sebagai matawang sandaran kepada ratusan wang kertas dunia yang lain. Dolar EU kini telah mula diterima oleh banyak negara sebagai ‘reserver currency’ dunia, walaupun pada saat ini kekuatan pegangan matawang dunia masih lagi dikuasai oleh dolar AS. Jika peperangan antara Euro dan dolar AS ini berterusan, siapakah yang akan menang agaknya? Menurut gold-eagle.com, yang akan muncul menang dalam pertembungan untuk menjadi sandaran matawang dunia adalah dolar Euro. Tetapi harus diingat bahawa dolar Euro adalah sistem matawang yang sama dengan dolar AS iaitu sistem wang kertas yang dipaksa nilai ke atasnya oleh pemerintah. Kekuatannya adalah disandarkan di atas kuasa permintaan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya. Malah nilai dolar Euro bukan ditentukan oleh pemerintah tetapi oleh sebuah jawatankuasa yang diwakili oleh individu dari negara kesatuan Eropah yang sentiasa berubah.

Dua kenyataan penting boleh kita buat mengenai dua matawang utama dunia ini – dolar AS dan dolar EU selain ianya ibarat dua permukaan wang syiling yang yang sama itu wang kertas yang berlainan wajah. Pertama dolar AS yang beredar dimuka bumi ini secara umumnya adalah wang hutang luar negara. Sekiranya penggunaan dolar EU meningkat dan dunia mula meninggalkan penggunaan dolar AS, maka akan berlakulah peristiwa di mana dolar AS akan pulang ke Amerika Syarikat kerana permintaan dunia menyusut. Apabila Presiden Sadam Hussein mengisytiharkan supaya wang jualan minyak untuk makanan dibayar dalam dolar EU, kita dapati berlaku penyusutan nilai dolar sebanyak 20%, dan untuk tidak diikut oleh negara lain, Amerika menakluki Iraq atas alasan mencari senjata pemusnah (Weapon of Mass Destruction - WMD). Kedua, dolar EU sebagai matawang baru memiliki keunggulan kerana baru dilahirkan dan masih bebas daripada longgokan hutang dunia. Dolar EU sudah tentu akan lebih dipercayai daripada dolar AS. Implikasinya adalah dolar AS yang mengalir balik dari serata penjuru dunia harus ditukar dengan barang dan perkhidmatan, serta sumber alam Amerika Syarikat, mengembalikan kepada apa yang berlaku selama ini. Ini memberi kesan ‘boomerang’ kepada dolar AS yang seterusnya akan terus menyusutkan nilainya.

Bila sinerio ini berlaku, hasil atau kesannya boleh kita bayangkan. Harga barang di Amerika Syarikat akan meningkat, akan berlaku inflasi yang tinggi, pembelian dalam dolar AS akan melambung, kuasa membeli dolar AS menyusut, seterusnya melahirkan apa yang dikenali sebagai deprasi ekonomi bagi Amerika Syarikat. Dengan berlakunya peristiwa ini, apakah dolar EU akan untung? Jawapannya - keuntungan akan berlaku kepada dolar EU dalam masa yang singkat tetapi oleh kerana sifat dolar EU adalah sama dengan dolar AS, dalam jangka masa panjang perkara yang sama akan berlaku kepada dolar EU. Struktur ekonomi yang tidak adil berteraskan dolar AS akan terus berlaku dengan penggunaan matawang dolar EU. Menurut gold-eagle.com, kesamaan ini adalah kerana dolar EU dan dolar AS adalah keduanya tidak sama tetapi serupa kerana dolar Euro juga adalah ‘fiat money’, wang hampa yang pada akhirnya akan menjadi instrumen penghisapan, manipulasi dan spekulasi perdagangan matawang antarabangsa. Akan terus berlaku penguasaan yang kuat terhadap yang lemah. Maka, dengan dolar Euro ditangan, ianya akan menggantikan dolar AS sebagai lokomotif kapitalisme kasino dunia; dolar Euro akan menggantikan tugas dolar AS dalam penghancuran (nilai) mata wang negara-negara lain.

Dolar Euro juga akan menjadi jentolak untuk secara ‘artificial’ meningkatkan lagi piawai hidup bangsa eropah sambil memaksa bangsa lain hidup dalam kadar kemiskinan terus menerus. Sampai pada suatu titik, gelembung dolar Euro sama seperti dolar AS akan meletup dan akan menerima nasib yang sama. Negara-negara miskin dunia akan terus miskin dengan komoditi daripada negara miskin ini disedut oleh negara Eropah dan barat dengan hanya mencetak wang kertas mereka.

Kehancuran dolah AS sudah mula kelihatan, dengan masyarakat dunia sudah mula mengalih kepada matawang dunia yang lain. Dijangkakan masanya untuk dolar AS ini menyusut ketahap yang teruk sudah tidak begitu lama. Sejarah akan berulang dan kejatuhan dolar AS sedang dinanti, walau apa yang dilakukan oleh kerajaan Jepun dan China menjual wang masing-masing untuk mendapatkan dolar AS, tetapi nilai pertukaran asing dolar AS terus menyusut. Inilah fenomena sekarang. Dengan keadaan ketidak tentuan ini, cadangan supaya dunia khasnya negara kita supaya mencari alternatif kepada wang kertas seperti dinar emas perlulah diambil dengan sirus. Gold-eagle.com mencadangkan supaya sistem matawang dunia mengembalikan piawaian matawang kepada emas seperti yang pernah berlaku selama lebih 250 tahun (1717-1971). Pada dasarnya seluruh dunia memiliki nilai matawang yang sama. Dengan itu akan mengurangkan spekulasi perdagangan mata wang kerana wang mesti disandarkan dengan emas. Ekonomi dan perdagangan dunia dengan demikian akan berlangsung secara lebih adil. Aktitek sistem kewangan akan lebih teratur dengan pempiawaian sistem nilai. Cadangan ini walau bagaimanapun tidak akan diterima oleh institusi perbankan barat kerana menurut mereka, menghadkan unit kertas kepada emas akan menyekat perkembangan ekonomi dan penjanaan kredit ekonomi akan terhad dan ekonomi tidak boleh berkembang. Usul untuk menggunakan emas sebagai sandaran matawang dunia ini bukan sahaja tidak popular dikalangan bank barat tetapi juga sesuatu yang agak merbahaya buat mereka.

Sebab itulah kedatangan dinar emas di zaman ini perlulah dilihat dengan lebih mendalam akan potensinya dan peluangnya untuk bangkit dan merampas kemenangan ditengah perang antara dolar Euro dengan dolar AS ini. Kelahiran kembali dinar emas atau IGD sepertimana yang pernah digunakan di zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah jatuhnya Khalifah Uthmaniah di Turkey pada tahun 1924 memberi nafas baru kepada umat Islam yang sekian lama dipermainkan oleh sistem matawang dunia yang penuh dengan riba. Usaha mengembalikan dinar emas bukan sahaja mengatasi sistem piawaian emas tetapi sesuatu yang nyata kerana dinar itu sendiri adalah emas tulin koin 4.25 gram, emas 22 karat. Menjelang tahun 2004 kita dapati perkembangan penggunaan IGD begitu efektif sebagai matawang dunia walaupun dalam jumlah yang agak kecil. Di Malaysia dinar emas telah dicetak dalam bilangan puluhan ribu dan diedarkan ke seluruh dunia. Di peringkat antarabangsa kita dapati Thomas Cook Exchange Co di Dubai telah mula menerima dinar emas sebagai pertukaran. Di negara kita sudah ada dua belas wakala (pusat pertukaran wang kertas kepada dinar emas dan sebaliknya) di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut kita boleh lihat laman web www.igdexchange.com. Di kalangan operator wakala ini majoritinya adalah terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam. Ini suatu fenomena yang baik kerana ianya menunjukkan bahawa dinar emas ini tidak terbatas kepada agama, bangsa, tempat dan masa. Kita umat Islam harus ingat bahawa IGD telah digunakan oleh orang bukan Islam sebelum datangnya Islam. Dinar ini dipiawaikan mengikut timbangan dan ukuran yang telah ditetapkan oleh Saidina Umar R.A.

Jelas, kedatangan dinar emas bukan sahaja penting untuk ekonomi umat Islam, yang bukan Islam juga merasakan bahawa kembalinya dinar emas ini akan mengubah tekanan politik dan ekonomi dunia. Yang diperlukan bagi usaha mengembalikan IGD sekarang ini adalah sokongan politik dan pihak berkuasa yang lain dengan lebih luas sehingga ianya dapat diterima dan diakui sebagai matawang negara-negara Islam. Sebenarnya dinar emas tidak terikat oleh sesebuah negara kerana dinar emas tidak mempunyai identiti kenegaraan. Ianya adalah matawang universal untuk semua manusia. Tetapi apabila disebut sahaja dinar emas, semua orang tahu bahawa itu adalah wang emas umat Islam. Umat Islam di Malaysia seharusnya mula menggunakan dinar emas ini sebagai simpanan, membayar zakat, mas kawin dan hadiah diberikan untuk majlis-majlis istimewa.

Kita umat Islam semuanya harus mula membayangkan harta negara kita ditukar dengan emas atau komoditi yang diperlukan negara dan bukan dengan kepingan wang kertas dolar AS atau dolar EU atau Yen Jepun. Ini perlukan titik permulaan. Ianya boleh dilakukan diperingkat individu, antara syarikat dan negara. Ini boleh menjadi realiti dengan hanya dua buah negara Islam yang berdagang menggunakan dinar emas, maka bermulalah sejarah ekonomi politik dunia akan berubah kerana umat Islam kini hampir 1.5 bilion. Pemerintah dan tokoh umat Islam di Malaysia dan juga di Nusantara sesungguhnya dapat mengambil peranan dalam usaha mencipta mekanisme sistem matawang dunia yang stabil dan adil. Di negara kita sendiri kita dapati tidak ramai ulama yang tampil untuk membicarakan isu dinar emas atau menyokong secara terbuka akan usaha yang pernah diutarakan oleh bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Muhamad. Isu mengembalikan dinar emas sangatlah banyak, isu melibatkan hukum hakamnya, peranan sosialnya selain ekonomi dan pasarnya. Semua cendikiawan Islam dan bukan Islam harus tampil untuk sama-sama melibatkan diri dan berusaha untuk mengembalikan penggunaan dinar emas ini. Masyarakat kita memerlukan satu anjakan paradigma dalam memahami usaha untuk mengembalikan dinar emas. Gema kegemilangan dinar emas sudah mula kedengaran dan usaha kearah mengantikan dolar AS menampakkan hasil dengan keredhaan Allah S.W.T. untuk kesejahteraan manusia sejagat.

Di negara kita percetakan dinar emas sudah mula rancak sejak setahun yang lalu oleh dua agensi yang berdaftar. Islamic Mints Sdn Bhd dan Royal Mint Sdn Bhd adalah dua institusi yang mengeluarkan dinar emas dan dirham perak. Difahamkan sudah lebih daripada 30 ribu keping dinar emas telah dicetak dinegara ini. Di samping itu, terdapat juga sistem pertukaran wang kertas kepada dinar emas dan dari dinar emas kepada wang kertas tempatan melalui sistem elektroknik yang dikenali sebagai IGDexchange.com (www.igdexchange.com). Sistem ini membolehkan seseorang itu memiliki dinar emas dan meyimpannya secara elektronik dan boleh ditukar kepada dinar emas fizikal, melalui wakala yang ditubuhkan diseluruh negara dan dunia. Kembalinya dinar emas bukan lagi sesuatu igauan, tetapi suatu realiti dan menjadi tugas umat Islam dan bukan Islam yang inginkan keadilan dan memerangi riba sekarang ini untuk mengambil bahagian dalam ekonomi baru dinar emas ini.

Peperangan sistem matawang kertas dolar AS dan dolar Euro memberi kemenangan kepada sistem matawang yang berteraskan kepada sesuatu kebenaran iaitu dengan kembalinya sistem matawang bimetalik dinar emas dan dirham perak. Moga Allah S.W.T. merestui usaha negara ini untuk menjadikan dinar emas suatu agen penyatuan umat Islam. Malaysia mengetuai OIC dan semestinya layak untuk mengetuai negara Islam lain dalam usaha yang murni untuk mengembalikan penggunaan dinar emas dikalangan negara-negara OIC. Usaha harus dipertingkatkan oleh negara ini dan masyarakatnya untuk menjadikan pengembalian penggunaan dinar emas dikalangan negara-negara Islam menjadi suatu realiti.

No comments:

Post a Comment