KUALA LUMPUR - Malayan Banking Bhd menyasar menarik pelaburan berjumlah RM32 juta dalam produk logam berharga terbaharunya "Akaun Pelaburan Perak Maybank" dalam tahun pertama.

Maybank merupakan bank pertama di Malaysia menawarkan akaun buku simpanan pelaburan perak yang membolehkan penyimpanan dan pengeluaran perak pada harga harian dalam ringgit Malaysia.

Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya Lim Hong Tat berkata melabur dalam perak adalah suatu yang menarik kerana ia bernilai tinggi bagi barang kemas dan amalan perindustrian.

"Perak sentiasa bernilai tanpa mengambil kira apa juga iklim ekonomi. Pulangan bagi pelaburan pelanggan bergantung kepada turun naik harga perak dan urus niaga akan dicatatkan dalam buku simpanan pelangggan bagi rekod dan penyelenggaraan yang mudah," katanya dalam stau kenyataan hari ini.

Pelaburan minimum bagi akaun itu ialah 20 gram dan pembelian atau jualan minimum berikutnya ialah 10 gram dengan amaun tambahan dalam denominasi satu gram.

Dengan pilihan inovatif ini, Lim berkata Maybank menyasar 20,000 pelanggan dalam masa setahun.

Pada 1997, Maybank memperkenalkan Akaun Pelaburan Emas Maybank bagi membolehkan pelanggan melabur dalam logam ini dan ketika ini ia mempunyai portfolio lebih 66,000 akaun dengan pelaburan berjumlah lebih RM650 juta. - Bernama