BANGGA...Kamariah menunjukkan sebahagian barangan kemas hasil kegigihannya bermain kutu.
“KALAU diikutkan, semua orang ada saja benda mahu dibeli, termasuk
saya yang sentiasa terfikir untuk membeli emas. Disebabkan mahal, saya
terpaksa bermain kutu dengan rakan untuk memiliki emas,” kata peniaga
ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kamariah Md Hanafi, 50.
Kamariah menganggap membeli emas sebagai pelaburan menguntungkan
kerana ia boleh dijadikan aset berikutan harganya sentiasa meningkat.
Katanya, bermain kutu cara paling praktikal bagi mereka yang tidak mampu atau tidak memiliki banyak wang.
“Saya
menempah barang kemas sebulan sebelum menerima duit kutu. Sebaik
menerima wang, saya terus ke kedai emas dan mengambil tempahan.
“Sebagai contoh, setiap seorang daripada 25 pemain kutu membayar
RM50 sehari. Kami membuat cabutan 10 hari sekali dan setiap penerima
mendapat RM12,500.
“Kaedah ini dilakukan sejak bertahun-tahun lalu dan ia membantu kami mengumpul banyak wang pada satu-satu masa,” katanya.
Dia
yang berniaga ayam segar sejak 24 tahun lalu mengakui perniagaannya
banyak membantunya memberi pendapatan tetap, sekali gus membolehkannya
menyertai rakan lain bermain kutu.
Katanya, permainan kutu tidak
tamat selepas masing-masing mendapat habuan, sebaliknya diteruskan
supaya setiap pemain mempunyai sumber kewangan sampingan.
“Jika mahu lebih banyak wang kutu, saya akan memasukkan tiga nama iaitu anak dan adik sebagai penama.
“Itupun
terpulang kepada sasaran yang hendak dibeli dan memang satu kepuasan
apabila mendapat duit kutu kerana ia juga boleh digunakan untuk
melangsaikan hutang lama dan menanggung anak yang masih belajar,”
katanya.
Wanita gigih itu menegaskan, hasil duit kutu bukan saja
membolehkannya membeli barang kemas, malah digunakan untuk membeli
sebuah rumah berharga hampir RM200,000.
Kamariah berkata,
minatnya terhadap barangan kemas sebenarnya diwarisi daripada arwah
bapanya, Hanafi Ibrahim yang menjadi tukang emas.
Katanya,
kehebatan ukiran arwah bapanya yang terkenal dengan panggilan ‘Napi
tukang emas’ memberi laluan mudah kepadanya untuk membeli barang kemas
di kebanyakan kedai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Arwah
bapa bersahabat baik dengan seorang perintis emas tersohor di negeri
ini. Namun, disebabkan ayah hanya pandai bertukang tapi kekurangan
modal untuk membuka kedai emas, saya memanfaatkan kepakarannya dan kini
saya pula menjadi ‘ketua kutu’ kepada rakan peniaga lain,” katanya.
Sambil
menunjukkan sebahagian barangan kemas miliknya, Kamariah yang lebih
mesra dengan panggilan Kak Yah mendakwa dengan
hasil pelaburan itu, dia
mampu membesar dan menanggung pelajaran anak hingga ke universiti.
Bagaimanapun,
katanya, membentuk pasukan kutu tidak semudah disangka kerana bakal
berdepan risiko seperti ahli yang tidak jujur.
“Bermain kutu
memerlukan ahli yang boleh dipercayai. Saya sebagai ketua akan memilih
ahli daripada rakan peniaga di sekeliling kami.
“Lagipun, kami
sudah lama saling mengenali dan kebanyakan mereka ialah peniaga
keropok, barangan runcit, buah-buahan dan peniaga kain.
“Kami
kenal lebih 20 tahun kerana sama-sama berniaga di pasar sama. Ia juga
memudahkan ‘urusan’ mengutip duit kutu setiap hari,” katanya yang
berasal dari Tumpat, 10 kilometer dari Kota Bharu.
Hias diri, pelaburan paling utama
SEPASANG
suami isteri berpakat membuka kedai emas di Kota Bharu, Kelantan tiga
tahun lalu berikutan minat mendalam terhadap perniagaan itu.
Kini
Tengku Nor Alani Tengku Alang, 37, dan suami, Muhamad Faris Abdul
Rashid, 37, boleh tersenyum puas apabila Putri Jewels semakin mendapat
tempat di hati penggemar emas dengan lima cawangan sendiri, selain dua
cawangan francais.
Menurut Tengku Nor Alani, kebanyakan
masyarakat tempatan gemar menjadikan
barangan kemas bukan hanya sebagai
perhiasan tetapi turut menjual atau melabur saat harga melonjak di
pasaran.
“Boleh dikatakan dalam sehari, kita memperoleh 10 orang
atau lebih pembeli emas yang rata-rata menjadikan ia sebagai perhiasan
diri atau untuk pelaburan.
“Jangan terkejut jika ada lelaki
datang membeli jongkong emas melebihi dua kilogram. Bayangkan harga
satu kilogram jongkong emas kira-kira RM170,000 ke atas, jika jongkong
yang ada lakaran atau ‘paten’ harganya mencecah RM181,000 sekilogram.
“Kebanyakan
pembeli membuat belian bukan hanya untuk satu kilogram. Kalau dilihat
gaya pakaian yang sederhana, anda tidak akan percaya mereka mampu
membeli emas dalam jumlah sedemikian.
“Kebanyakan mereka adalah
golongan peniaga, pesara, guru atau yang tahu selok-belok emas dan
mereka akan menjualnya semula apabila harga mencapai sasaran keuntungan.
“Mungkin ketika menjualnya, harga melonjak dan mereka mendapat pulangan
maksimum. Itu tidak termasuk mereka yang gemar menjadikan syiling emas
(dinar) atau wang perak (dirham) atau pelbagai bentuk koleksi lain
untuk tujuan sama.
“Tepuk dada tanya selera dan terpulang kepada individu untuk menyimpan emas mengikut cara masing-masing,” katanya.
Jika
Putri Jewels milik pasangan suami isteri, Kedai Emas & Permata Mohd
Said, iaitu kedai emas paling lama di Kelantan, adalah legasi
perniagaan keluarga.
Seorang anak Allahyarham, Razali Mohd, 59, adalah generasi kedua mengusahakan perniagaan yang dirintis bapanya sejak 1960-an.
Menurut
menantunya, Rohani Mohamad, 53, kebanyakan orang di negeri Cik Siti Wan
Kembang gemar membeli barangan kemas untuk tujuan perhiasan dan
pelaburan.
“Tidak dinafikan, sambutan terhadap jualan emas
setiap hari sentiasa ada pembelinya antara 10 hingga 20 orang
memandangkan kebanyakan mereka berfikiran jauh.
“Rata-rata
masyarakat di sini gemar memiliki emas dan budaya itu tertanam dalam
masyarakat sejak dulu sebab ia sungguh berguna kepada pemiliknya.
“Yang
menarik, sepanjang berniaga sejak berpuluh tahun dulu, persaingan
sesama peniaga sangat positif. Lebih membanggakan, tahun lalu kedai
kami mendapat Anugerah Harga Patut disampaikan Menteri Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri
Yaakob,” katanya.
Sambutan hangat masyarakat Kelantan terhadap emas juga mendorong
syarikat tersohor, Habib Jewels Sdn Bhd, membuka cawangan ke-22 di negeri itu.
Menurut
pengurus cawangannya, Rosmayati Harun, ketika pembukaan cawangan itu
pada 14 Oktober 2010, jualan melebihi RM200,000 dengan jumlah pelanggan
lebih 500 orang.
“Sebenarnya, dalam usia lebih 50 tahun syarikat ini, walaupun ia bermula di Pulau Pinang, kebanyakan ejennya dari Kelantan.
“Untuk
itu, inisiatif pembukaan cawangan ini adalah sebagai penghargaan kepada
mereka yang gemarkan koleksi Habib yang sentiasa mengikut aliran
terkini.
“Pemerhatian terhadap trend pasaran di sini mendapati,
mereka membeli emas kerana pelaburan yang dianggap berbaloi dan ramai
orang tempatan suka emas 916.
“Namun ada juga yang sukakan
permata dan untuk itu promosi terhadap emas mahupun permata sentiasa
dilakukan dari semasa ke semasa, terutama musim
cuti sekolah atau perayaan tertentu,” katanya.
Harga emas jarang menjunam
MEMBELI
emas sebagai pelaburan sudah lama menjadi amalan wanita di pantai
timur, terutama di Kelantan. Jika tidak memiliki walau seurat emas, dia
seolah-olah tidak sempurna pada pandangan masyarakat, budaya atau cara
hidup golongan Hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Jika
dulu hanya wanita membeli barang kemas sebagai perhiasan, trend hari
ini makin berubah apabila lelaki turut membeli logam berharga itu
sebagai pelaburan atau mengekalkan reputasi.
Perkara itu diakui
pemilik Dyana Jewels, Datuk Suhaimi Hashim yang berpengalaman lebih 12
tahun di bidang berkaitan dengan meneruskan legasi perniagaan ibunya di
Kuala Terengganu dan kini memiliki beberapa cawangan di Kuala Lumpur.
Menurutnya,
gagasan menguasai ekonomi baru dunia memperlihatkan China dan India
sebagai negara paling ramai rakyatnya memiliki emas, diikuti Vietnam.
“Kebanyakan
rakyat di negara berkenaan menjadikan emas sebagai aset untuk
dilaburkan di kala kehidupan susah. Ini kerana mereka percaya emas
tidak pernah susut nilai atau menurun.
“Hakikatnya, harga emas
jarang menjunam berbanding komoditi lain. Tidak hairan jongkong emas
kini menjadi pilihan ramai lelaki yang didorong sifat ingin mengekalkan
kekayaan kerana harganya sentiasa stabil di pasaran. Kalau jatuh pun,
ia hanya sementara.
“Disebabkan ia pelaburan menguntungkan, emas kini bukan sekadar lambang status diri semata-mata,” katanya.
Suhaimi
turut membuat perbandingan antara kereta dengan emas. Sebagai
contoh,
kebanyakan kereta yang dibeli dengan harga RM100,000 akan susut nilai
sehingga RM50,000 apabila digunakan selama lima tahun berbanding emas
yang dibeli dengan harga RM20,000 mungkin bernilai RM200,000 dalam
tempoh lima tahun lagi.
“Ini menyebabkan permintaan terhadap emas sentiasa tinggi berbanding barangan lain,” katanya.
Sebagai
perbandingannya, katanya, harga satu aun emas cuma RM30 ketika beliau
mula menceburi bidang itu 12 tahun lalu tetapi kini meningkat tujuh
kali ganda.
Mengenai jenis emas, Suhaimi berkata, ‘emas 10’ atau
999 iaitu bersamaan 24k (karat iaitu 99.9 peratus kandungan emasnya
(tulen) paling mahal di Malaysia.
Ini diikuti ‘emas 95’ (950)
yang juga dikenali sebagai emas pound (23k iaitu 95.4 peratus kandungan
emas tulen) dan ‘emas 916’ (22k iaitu 91.6 peratus kandungan emas
tulen).
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pembeli memilih emas
916 kerana ia dianggap ‘standard’ sama ada di segi harga atau
piawaiannya.
Bagi mengelak ditipu, Suhaimi menasihati bakal
pembeli meneliti tanda ‘karat’ pada perhiasan emas dijual, selain tanda
atau cop dagangan untuk mengenal pasti pembuatnya.
Menurutnya,
di kebanyakan negara, setiap pengeluar barang kemas diwajibkan mengecop
simbol karat pada perhiasan emas dan dikawal melalui sistem ‘hallmark’
(cap kempa) yang berasal daripada Goldsmiths’ Hall, London sejak abad
ke-14. Peraturan itu diwajibkan di Belanda, Mesir, Britain, Perancis
dan Bahrain.
“Di Malaysia, kebiasaannya cop diletakkan di kancu
emas sama ada jenis 999, 950, 916. Selain itu, ada juga dicop dengan
karat seperti 22k, 18k, 14k. Ada juga dicop bersama tempat pengeluaran
barang kemas itu.
“Ia penting kerana jika tiada undang-undang
mengawalnya, pengilang akan sewenang-wenangnya mengecop sendiri barang
kemas mengikut cop perusahaan mereka, termasuk karat dan ketulenan,
tanpa pengawasan. Oleh itu, pengguna mesti bijak dan perlu mengambil
resit yang mencatatkan jenis emas dibeli. Jika bercanggah dengan apa
yang tercatat pada resit, pembeli boleh membuat aduan,” katanya.
Bagaimanapun,
bak kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam, Suhaimi mengakui
hanya segelintir orang dapat mengenal pasti sama ada emas dibelinya
tulen atau palsu.
“Macam saya yang sudah lama di bidang ini, melihat pada jarak tiga meter pun saya dapat agak ia palsu atau tulen.
“Kita
boleh lihat di segi warna dan beratnya serta pelbagai cara lain. Yang
penting, beli barang kemas di kedai emas, bukan daripada orang
sembarangan.
“Ada segelintir individu menawar untuk menjual
barang kemasnya kepada orang ramai dengan harga terlalu murah dengan
alasan terdesak dan perlukan duit segera. Perbuatan ini sungguh
mencurigakan kerana kalau benar-benar perlukan wang, dia boleh
menjualnya di kedai emas yang membeli dengan harga tinggi. Ia tentunya
menimbulkan syak kerana kemungkinan emas itu palsu,” katanya.
Suhaimi juga menjelaskan, emas perlu dicampur dengan logam lain kerana ia terlalu lembut hingga tidak sesuai dipakai seharian.
“Emas
perlu dicampur dengan logam lain supaya lebih keras dan tahan lasak.
Menambahkan logam lain sebagai campuran ‘metallurgists’ membolehkan
anda menukar warna emas. Paladium atau nikel boleh ditambah untuk
mencipta emas putih. Tembaga ditambah untuk menghasilkan warna mawar
atau merah muda.
“Saduran emas adalah proses yang menggunakan
kaedah elektrolisis. Lapisan emas pada barang kemas yang menggunakan
kaedah saduran biasanya lebih nipis berbanding dalam bentuk emas
salutan.
“Istilah mencuci emas atau mengilatkan barang kemas
setahun sekali menggambarkan lapisan emas yang disadur sangat tipis,”
katanya.
BELILAH DENGAN ILMU DAN DENGAN DEALER YANG SAH...
Hubungi
saya Nordiana bt abdullah (ad2620) ditalian 0139663542 untuk
mendapatkan info dan juga temujanji....Kepakaran saya adalah membimbing
anda mencapai financial freedom dalam dimensi yang amat jelas melalui
simpanan, pelaburan dan perniagaan emas fizikal... bimbingan sepenuhnya
akan diberikan.... Bersama saya melahirkan lebih ramai lagi usahawan
dan jutawan emas muslim. Semoga anda KAYA dan BERJAYA. Daftar segera.
Sumber: metro 26/2/2012