Unit Penyelidikan Dinar Dirham, Universiti Teknologi Malaysia
Dolar Amerika Syarikat (AS) terkenal sebagai matawang dunia yang paling
banyak digunakan dalam perdagangan antarabangsa dan menjadi sandaran
kepada banyak matawang negara-negara di dunia ini. Dolar Euro
dilahirkan dan digunakan sebagai matawang rasmi oleh 12 buah negara
Eropah iaitu Austria, Belgia, Finland, Prancis, Jerman, Yunani, Ireland,
Itali, Luxemburg, Belanda, Portugal, dan Spanyol dengan jumlah penduduk
hampir 300 juta orang. Adalah dijangkakan dolar Euro yang mula
diperkenalkan dalam tahun 1999, dan digunakan dengan rasminya pada 2
Januari 2002 dapat menyaingi dolar AS dan Yen Jepun. Walau bagaimanapun
pada hari pelancaran dolar Euro, kadar pertukaranya hanyalah pada kadar
1 dolar Euro bersamaan 0.8934 dolar AS.
Berbagai usaha dilakukan oleh Bank Pusat Eropah (European Central Bank –
ECB) bagi mnguatkan kedudukan dolar Euro dengan menaikkan kadar faedah
pada 2.75% dalam tahun 2003 sedangkan dolar AS menurunkan kadar faedah
kepada 1.25%. Mulai tahun 2003, kita dapati dolar Euro makin bertambah
kukuh dibandingkan dengan dolar AS. Kini kita dapati dolar AS mula
mengalami satu saingan yang benar-benar mencabar. Cabaran makin hangat
dengan berlakunya perang teluk dan kegagalan AS membuktikan kewujudan
senjata pemusnah, yang dikatakan punca utama merosakan negara Iraq.
Ramai penganalisis kewangan dunia menyatakan jika perang dan kestabilan
di Iraq tidak tercapai dalam masa terdekat, dolar AS akan terus merosot
dan akan menekan ekonomi AS. Walau apa yang dilakukan oleh Amerika
Syarikat untuk mengukuhkan nilai dolar AS, penyusutan nilai dolar AS
terus berlaku!
Eropah merupakan suatu kawasan yang remai penduduknya dengan etnik yang
berbeza. Pegenalan dolar Euro memberikan satu identiti kepada benua
Eropah walaupun tidak semua negara menyertai penggunaan matawang baru
ini. Dalam waktu yang singkat sahaja kita dapati beberapa perubahan
besar dalam dominasi matawang dalam perdagangan, jual beli saham, ekspot
dan impot dan berbagai lagi engin operasi sistem perbankan berpindah
dari menggunakan dolar AS kepada menggunakan dolar Euro. Kini matawang
dolar Euro beroperasi sepenuhnya di seluruh negara kesatuan Eropah
khasnya dan dunia amnya. Negara-negara di luar kesatuan Eropah yang
mempunyai hubungan perdagangan dengan negara kesatuan Eropah sudah mula
menggunakan dolar Euro dalam taransaksi perdagangan. Urusan perdagangan
langsung menggunakan dolar Euro akan mengurangkan kos perdagangan yang
terlibat apabila menukar kepada dolar AS kemudian ditukar pula kepada
dolar Euro, seterusnya mengurangkan risiko ketidakstabilan, nilai tukar
cara ini akan menurunkan kos transaksi.
Kadar pertukaran dolar Euro dengan dolar AS pada mulanya adalah pada
paras yang hampir sama. Oleh kerana permintaan dolar Euro meningkat,
kadar pertukaran matawang ini turut meningkat. Nampaknya ada
pertembungan antara dua matawang dunia ini seolah-olah bermulanya
peperangan antara dolar Euro dengan dolar AS. Walaupun tidak ada suatu
pengistihar perang, tetapi jelas perang antara dolar Euro dengan dolar
AS telah berlaku. Satu laporan dan analisis yang dilakukan oleh
gold-eagle.com, bahawa peperangan ini berlaku bagi mendapatkan kedudukan
sebagai matawang sandaran kepada ratusan wang kertas dunia yang lain.
Dolar EU kini telah mula diterima oleh banyak negara sebagai ‘reserver
currency’ dunia, walaupun pada saat ini kekuatan pegangan matawang dunia
masih lagi dikuasai oleh dolar AS. Jika peperangan antara Euro dan
dolar AS ini berterusan, siapakah yang akan menang agaknya? Menurut
gold-eagle.com, yang akan muncul menang dalam pertembungan untuk menjadi
sandaran matawang dunia adalah dolar Euro. Tetapi harus diingat bahawa
dolar Euro adalah sistem matawang yang sama dengan dolar AS iaitu
sistem wang kertas yang dipaksa nilai ke atasnya oleh pemerintah.
Kekuatannya adalah disandarkan di atas kuasa permintaan dan kepercayaan
yang diberikan kepadanya. Malah nilai dolar Euro bukan ditentukan oleh
pemerintah tetapi oleh sebuah jawatankuasa yang diwakili oleh individu
dari negara kesatuan Eropah yang sentiasa berubah.
Dua kenyataan penting boleh kita buat mengenai dua matawang utama dunia
ini – dolar AS dan dolar EU selain ianya ibarat dua permukaan wang
syiling yang yang sama itu wang kertas yang berlainan wajah. Pertama
dolar AS yang beredar dimuka bumi ini secara umumnya adalah wang hutang
luar negara. Sekiranya penggunaan dolar EU meningkat dan dunia mula
meninggalkan penggunaan dolar AS, maka akan berlakulah peristiwa di mana
dolar AS akan pulang ke Amerika Syarikat kerana permintaan dunia
menyusut. Apabila Presiden Sadam Hussein mengisytiharkan supaya wang
jualan minyak untuk makanan dibayar dalam dolar EU, kita dapati berlaku
penyusutan nilai dolar sebanyak 20%, dan untuk tidak diikut oleh negara
lain, Amerika menakluki Iraq atas alasan mencari senjata pemusnah
(Weapon of Mass Destruction - WMD). Kedua, dolar EU sebagai matawang
baru memiliki keunggulan kerana baru dilahirkan dan masih bebas daripada
longgokan hutang dunia. Dolar EU sudah tentu akan lebih dipercayai
daripada dolar AS. Implikasinya adalah dolar AS yang mengalir balik
dari serata penjuru dunia harus ditukar dengan barang dan perkhidmatan,
serta sumber alam Amerika Syarikat, mengembalikan kepada apa yang
berlaku selama ini. Ini memberi kesan ‘boomerang’ kepada dolar AS yang
seterusnya akan terus menyusutkan nilainya.
Bila sinerio ini berlaku, hasil atau kesannya boleh kita bayangkan.
Harga barang di Amerika Syarikat akan meningkat, akan berlaku inflasi
yang tinggi, pembelian dalam dolar AS akan melambung, kuasa membeli
dolar AS menyusut, seterusnya melahirkan apa yang dikenali sebagai
deprasi ekonomi bagi Amerika Syarikat. Dengan berlakunya peristiwa ini,
apakah dolar EU akan untung? Jawapannya - keuntungan akan berlaku
kepada dolar EU dalam masa yang singkat tetapi oleh kerana sifat dolar
EU adalah sama dengan dolar AS, dalam jangka masa panjang perkara yang
sama akan berlaku kepada dolar EU. Struktur ekonomi yang tidak adil
berteraskan dolar AS akan terus berlaku dengan penggunaan matawang dolar
EU. Menurut gold-eagle.com, kesamaan ini adalah kerana dolar EU dan
dolar AS adalah keduanya tidak sama tetapi serupa kerana dolar Euro juga
adalah ‘fiat money’, wang hampa yang pada akhirnya akan menjadi
instrumen penghisapan, manipulasi dan spekulasi perdagangan matawang
antarabangsa. Akan terus berlaku penguasaan yang kuat terhadap yang
lemah. Maka, dengan dolar Euro ditangan, ianya akan menggantikan dolar
AS sebagai lokomotif kapitalisme kasino dunia; dolar Euro akan
menggantikan tugas dolar AS dalam penghancuran (nilai) mata wang
negara-negara lain.
Dolar Euro juga akan menjadi jentolak untuk secara ‘artificial’
meningkatkan lagi piawai hidup bangsa eropah sambil memaksa bangsa lain
hidup dalam kadar kemiskinan terus menerus. Sampai pada suatu titik,
gelembung dolar Euro sama seperti dolar AS akan meletup dan akan
menerima nasib yang sama. Negara-negara miskin dunia akan terus miskin
dengan komoditi daripada negara miskin ini disedut oleh negara Eropah
dan barat dengan hanya mencetak wang kertas mereka.
Kehancuran dolah AS sudah mula kelihatan, dengan masyarakat dunia sudah
mula mengalih kepada matawang dunia yang lain. Dijangkakan masanya
untuk dolar AS ini menyusut ketahap yang teruk sudah tidak begitu lama.
Sejarah akan berulang dan kejatuhan dolar AS sedang dinanti, walau apa
yang dilakukan oleh kerajaan Jepun dan China menjual wang masing-masing
untuk mendapatkan dolar AS, tetapi nilai pertukaran asing dolar AS terus
menyusut. Inilah fenomena sekarang. Dengan keadaan ketidak tentuan
ini, cadangan supaya dunia khasnya negara kita supaya mencari alternatif
kepada wang kertas seperti dinar emas perlulah diambil dengan sirus.
Gold-eagle.com mencadangkan supaya sistem matawang dunia mengembalikan
piawaian matawang kepada emas seperti yang pernah berlaku selama lebih
250 tahun (1717-1971). Pada dasarnya seluruh dunia memiliki nilai
matawang yang sama. Dengan itu akan mengurangkan spekulasi perdagangan
mata wang kerana wang mesti disandarkan dengan emas. Ekonomi dan
perdagangan dunia dengan demikian akan berlangsung secara lebih adil.
Aktitek sistem kewangan akan lebih teratur dengan pempiawaian sistem
nilai. Cadangan ini walau bagaimanapun tidak akan diterima oleh
institusi perbankan barat kerana menurut mereka, menghadkan unit kertas
kepada emas akan menyekat perkembangan ekonomi dan penjanaan kredit
ekonomi akan terhad dan ekonomi tidak boleh berkembang. Usul untuk
menggunakan emas sebagai sandaran matawang dunia ini bukan sahaja tidak
popular dikalangan bank barat tetapi juga sesuatu yang agak merbahaya
buat mereka.
Sebab itulah kedatangan dinar emas di zaman ini perlulah dilihat dengan
lebih mendalam akan potensinya dan peluangnya untuk bangkit dan merampas
kemenangan ditengah perang antara dolar Euro dengan dolar AS ini.
Kelahiran kembali dinar emas atau IGD sepertimana yang pernah digunakan
di zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah jatuhnya Khalifah Uthmaniah di
Turkey pada tahun 1924 memberi nafas baru kepada umat Islam yang sekian
lama dipermainkan oleh sistem matawang dunia yang penuh dengan riba.
Usaha mengembalikan dinar emas bukan sahaja mengatasi sistem piawaian
emas tetapi sesuatu yang nyata kerana dinar itu sendiri adalah emas
tulin koin 4.25 gram, emas 22 karat. Menjelang tahun 2004 kita dapati
perkembangan penggunaan IGD begitu efektif sebagai matawang dunia
walaupun dalam jumlah yang agak kecil. Di Malaysia dinar emas telah
dicetak dalam bilangan puluhan ribu dan diedarkan ke seluruh dunia. Di
peringkat antarabangsa kita dapati Thomas Cook Exchange Co di Dubai
telah mula menerima dinar emas sebagai pertukaran. Di negara kita sudah
ada dua belas wakala (pusat pertukaran wang kertas kepada dinar emas
dan sebaliknya) di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut kita boleh
lihat laman web www.igdexchange.com.
Di kalangan operator wakala ini majoritinya adalah terdiri daripada
mereka yang bukan beragama Islam. Ini suatu fenomena yang baik kerana
ianya menunjukkan bahawa dinar emas ini tidak terbatas kepada agama,
bangsa, tempat dan masa. Kita umat Islam harus ingat bahawa IGD telah
digunakan oleh orang bukan Islam sebelum datangnya Islam. Dinar ini
dipiawaikan mengikut timbangan dan ukuran yang telah ditetapkan oleh
Saidina Umar R.A.
Jelas, kedatangan dinar emas bukan sahaja penting untuk ekonomi umat
Islam, yang bukan Islam juga merasakan bahawa kembalinya dinar emas ini
akan mengubah tekanan politik dan ekonomi dunia. Yang diperlukan bagi
usaha mengembalikan IGD sekarang ini adalah sokongan politik dan pihak
berkuasa yang lain dengan lebih luas sehingga ianya dapat diterima dan
diakui sebagai matawang negara-negara Islam. Sebenarnya dinar emas
tidak terikat oleh sesebuah negara kerana dinar emas tidak mempunyai
identiti kenegaraan. Ianya adalah matawang universal untuk semua
manusia. Tetapi apabila disebut sahaja dinar emas, semua orang tahu
bahawa itu adalah wang emas umat Islam. Umat Islam di Malaysia
seharusnya mula menggunakan dinar emas ini sebagai simpanan, membayar
zakat, mas kawin dan hadiah diberikan untuk majlis-majlis istimewa.
Kita umat Islam semuanya harus mula membayangkan harta negara kita
ditukar dengan emas atau komoditi yang diperlukan negara dan bukan
dengan kepingan wang kertas dolar AS atau dolar EU atau Yen Jepun. Ini
perlukan titik permulaan. Ianya boleh dilakukan diperingkat individu,
antara syarikat dan negara. Ini boleh menjadi realiti dengan hanya dua
buah negara Islam yang berdagang menggunakan dinar emas, maka bermulalah
sejarah ekonomi politik dunia akan berubah kerana umat Islam kini
hampir 1.5 bilion. Pemerintah dan tokoh umat Islam di Malaysia dan juga
di Nusantara sesungguhnya dapat mengambil peranan dalam usaha mencipta
mekanisme sistem matawang dunia yang stabil dan adil. Di negara kita
sendiri kita dapati tidak ramai ulama yang tampil untuk membicarakan isu
dinar emas atau menyokong secara terbuka akan usaha yang pernah
diutarakan oleh bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Muhamad. Isu
mengembalikan dinar emas sangatlah banyak, isu melibatkan hukum
hakamnya, peranan sosialnya selain ekonomi dan pasarnya. Semua
cendikiawan Islam dan bukan Islam harus tampil untuk sama-sama
melibatkan diri dan berusaha untuk mengembalikan penggunaan dinar emas
ini. Masyarakat kita memerlukan satu anjakan paradigma dalam memahami
usaha untuk mengembalikan dinar emas. Gema kegemilangan dinar emas
sudah mula kedengaran dan usaha kearah mengantikan dolar AS menampakkan
hasil dengan keredhaan Allah S.W.T. untuk kesejahteraan manusia sejagat.
Di negara kita percetakan dinar emas sudah mula rancak sejak setahun
yang lalu oleh dua agensi yang berdaftar. Islamic Mints Sdn Bhd dan
Royal Mint Sdn Bhd adalah dua institusi yang mengeluarkan dinar emas dan
dirham perak. Difahamkan sudah lebih daripada 30 ribu keping dinar
emas telah dicetak dinegara ini. Di samping itu, terdapat juga sistem
pertukaran wang kertas kepada dinar emas dan dari dinar emas kepada wang
kertas tempatan melalui sistem elektroknik yang dikenali sebagai
IGDexchange.com (www.igdexchange.com).
Sistem ini membolehkan seseorang itu memiliki dinar emas dan
meyimpannya secara elektronik dan boleh ditukar kepada dinar emas
fizikal, melalui wakala yang ditubuhkan diseluruh negara dan dunia.
Kembalinya dinar emas bukan lagi sesuatu igauan, tetapi suatu realiti
dan menjadi tugas umat Islam dan bukan Islam yang inginkan keadilan dan
memerangi riba sekarang ini untuk mengambil bahagian dalam ekonomi baru
dinar emas ini.
Peperangan sistem matawang kertas dolar AS dan dolar Euro memberi
kemenangan kepada sistem matawang yang berteraskan kepada sesuatu
kebenaran iaitu dengan kembalinya sistem matawang bimetalik dinar emas
dan dirham perak. Moga Allah S.W.T. merestui usaha negara ini untuk
menjadikan dinar emas suatu agen penyatuan umat Islam. Malaysia
mengetuai OIC dan semestinya layak untuk mengetuai negara Islam lain
dalam usaha yang murni untuk mengembalikan penggunaan dinar emas
dikalangan negara-negara OIC. Usaha harus dipertingkatkan oleh negara
ini dan masyarakatnya untuk menjadikan pengembalian penggunaan dinar
emas dikalangan negara-negara Islam menjadi suatu realiti.
No comments:
Post a Comment