BANGI, April 2013 – Malaysia boleh di anggap sebagai sebuah negara
yang tidak dibebani dengan masalah inflasi yang ketara, walaupun pernah
dilanda inflasi tinggi ekoran krisis matawang Asia pada tahun 1997 dan
1998.
Prof Dr Mansor Jusoh dari Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi
dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata
Malaysia secara purata mengalami kadar inflasi 3.75 peratus setahun
antara 1973 hingga kini, walaupun pernah mencapai kadar tertinggi
sehingga 23.9 peratus pada Mac 1974 dan terendah 2.4 peratus pada Julai
2009.
Beliau berkata demikian di Perbincangan Meja Bulat mengenai “Inflasi
dan Kesannya Terhadap Dana Simpanan” di sini hari ini. Perbincangan itu
dianjurkan FEP.
Dua anggota panel lagi adalah Prof Dr Ahamed Kameel Mydin Meera dari
Fakulti Sains Ekonomi and Pengurusan, Jabatan Kewangan, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Juzaili bin Lup, Penganalisa
Penyelidikan Kanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prof Madya Dr
Sani Ahmad, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM bertindak
sebagai moderator.
Prof Mansor berkata apabila inflasi berlaku jumlah barangan yang boleh dibeli dengan wang yang sama akan berkurangan.
Inflasi adalah suatu fenomena yang biasa dihadapi sesebuah ekonomi
yang sedang berkembang. Bagaimana pun inflasi tinggi dianggap sebagai
sesuatu yang negatif dan perlu dielak
.
Antara matlamat utama dasar kewangan sesebuah negara adalah untuk
mengawal inflasi dan menjamin kestabilan harga. Contohnya, mensasarkan
inflasi dalam melaksanakan dasar kewangan. Itulah pendekatan yang
diambil oleh negara-negara Eropah.
“Kesan inflasi tidak sama kerana terdapat juga golongan yang mendapat
manfaat daripadanya misalnya peniaga tetapi rata-rata lebih banyak
pihak yang akan mendapat kesan negatif, terutama apabila kadar inflasi
melambung tinggi dan meluap,” kata Prof Mansor.
Beliau menerangkan bahawa inflasi hiper boleh menyebabkan masyarakat
hilang kepercayaan kepada wang dan boleh mencetuskan kembali sistem
barter (pertukaran barang).
Kiranya inflasi hiper berterusan matawang asing boleh mengambil alih
matawang tempatan sebagaimana berlaku di Argentina dan boleh membawa
kepada ekonomi menjadi lumpuh. Inflasi yang tak dijangkakan boleh pula
menjejaskan keputusan pelaburan dan mengakibatkan penurunan pengeluaran
barang buatan dari kilang.
Beliau menerangkan bahawa semasa inflasi, nilai benar dana akan
merosot. Contohnya dana RM1 juta akan mengalami kemerosotan nilai benar
sebanyak 5% dalam setahun jika kadar inflasi tahunan adalah 5%.
Tindakan rasional pelabur adalah mewujudkan fortfolio aset pelbagai
terdiri daripada wang seperti deposit tetap di bank, aset kewangan
seperti bil perbendaharaan, saham, bon atau atau aset benar seperti
hartanah dan emas. Bagaimanapun aset demikian itu juga boleh dipengaruhi
inflasi baik dari segi harga mahupun kadar pulangan.
“Tetapi, oleh kerana setiap aset terdedah kepada risiko yang berbeza
ekoran ketidakpastian inflasi, perubahan harga dan kadar pulangan akan
berbeda-beda mengikut jenis aset,” kata Dr Masor.
Beliau juga menerangkan bahawa semasa inflasi yang meluap, nilai aset
seperti hartanah dan emas cenderung untuk meningkat. Ini adalah
disebabkan orang ramai menganggap aset seperti emas adalah pelindung
nilai yang baik.
Dr. Mansor berkata kecenderungan untuk memilih aset yang bersifat
jangka pendek dan aset lindung nilai seperti emas mungkin baik untuk
fortfolio pemegang dana. Bagaimanapun, pilihan itu kurang baik untuk
ekonomi secara keseluruhan. Tindakan ini boleh menjejaskan penyaluran
dana untuk pelaburan fizikal yang lebih produktif.
Prof Madya Dr Ahamed pula telah membincangkan persoalan “Ekonomi
Dunia 2012/13 dan Emas”. Dalam keadaan global semasa dengan ekonomi
Amerika Syarikat (AS) masih belum pulih di tokok krisis hutang Eropah
boleh membawa kepada kemungkinan berlakunya inflasi Global hingga
membenam harga hartanah dan membawa kepada kesan limpahannya.
Akibatnya ia boleh memberi kesan domino yang akan berterusan dengan
kemungkinan berlakunya peperangan di Timur Tengah yang boleh bertukar
menjadi peperangan global.
Dr Ahamed berkata ancaman segera adalah hyperinflation global,
kemelesetan ekonomi global, pengangguran, pertelingkahan dan peperangan
antara negara. Semua itu boleh membawa kepada penurunan nilai dolar,
euro dan kemelesetan ekonomi dunia yang mendadak.
Ekonomi dunia kini yang bergantung kepada Fiat Money, wang yang
dicetak tanpa sokongan, akan meleset sebagaimana juga nilainya juga
berkurangan. Keadaan demikian mungkin memaksa dunia mengambil jalan
keluar dengan menggunakan emas dan perak kembali sebagai mata wang.
Bagaimana pun dengan pengeluaran emas yang terhad ditambah pembelian
oleh bank-bank pusat dan permintaan semakin meningkat dari India dan
China, dua pengguna terbesar emas, ia berpotensi memacu harganya
meningkat sehingga AS$5,000 satu oz.
Laporan Standard Chartered sehingga Jun 2011 meramalkan emas dan
perak akan menjadi aset pilihan dalam keadan huru-hara, peperangan dan
pergolakan. Kedua-dua logam berharga ini sememangnya telah pun digunakan
sebagai matawang dalam sejarah dunia.
Beliau menyorot kepada ramalan pemenang Hadiah Nobel untuk Ekonomi
tahun 1999, Robert Alexander Mundell bahawa emas akan muncul kembali
dalam sistem kewangan antarabangsa pada abad ke-21. Nampaknya ramalan
itu tidak salah kerana berkemungkinan emas kembali digunakan sebagai
standard wang dalam tahun ini, kata Dr Ahamed.
: www.ukm.my/
No comments:
Post a Comment